Pages

Monday, November 02, 2009

Kemudahan e-mel tolakan Blackberry


TEKNOLOGI perhubungan sentiasa berubah. Teknologi yang dirasakan amat canggih pada sesuatu masa akan diganti dengan teknologi lebih berkesan.

Teknologi telefon bimbit yang dimulakan dengan perhubungan menggunakan suara kini diambil alih perhubungan melalui teks iaitu SMS.


Ia kemudian disokong teknologi MMS yang membolehkan maklumat berbentuk multimedia dihantar melalui telefon bimbit.

Dengan teknologi 3G, sidang video boleh dilakukan secara langsung menggunakan telefon bimbit yang menyokong teknologi 3G.

Teknologi terkini adalah menghantar dan menerima e-mel melalui telefon bimbit. Biasanya membabitkan telefon pintar.

Walaupun kebanyakaan telefon bimbit sebelum ini boleh menghantar dan menerima e-mel, ia hanya satu daripada kemudahan sampingan.

Kemudahan e-mel yang terdapat di kebanyakaan telefon bimbit tidak dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pengguna kerana ia tidak dibekalkan dengan pelarasan diperlukan.

Kepada pengguna yang mempunyai pengetahuan mengenai sistem penghantaran dan penerimaan e-mel, mereka boleh membuat pelarasan atau tetapan untuk mengatifkannya sendiri, namun pengalaman menggunakan e-mel menerusi telefon bimbit sehingga kini tidaklah begitu selesa seperti pengunaan SMS.

Ruang teknologi komunikasi menggunakan e-mel di telefon bimbit tidak dihiraukan kebanyakan pengeluar dan penghasil teknologi telefon bimbit sehingga kini.

Untuk pengguna yang ingin menerima dan menghantar e-mel dengan lebih mudah, kini terdapat teknologi yang dipelopori oleh Syarikat RIM yang dinamakan Email Push di bawah jenama Blackberry.

Jenama telefon bimbit Blackberry nampaknya masih jarang kelihatan dipamerkan di kaunter telefon bimbit di pasar raya, faktor penyebabnya adalah untuk ia beroperasi dengan sempurna, memerlukan perisian tambahan untuk dipasang ke sistem pelayan e-mel pengguna Blackberry itu.

Namun, keperluan pemasangan perisian di dalam pelayan e-mel pengguna tidak lagi diperlukan.

Syarikat Blackberry memberikan kemudahan pengunaan pelayan mereka dengan caj minima setiap bulan.

Kemudahan penerimaan e-mel tolakan juga boleh digunakan kepada semua e-mel persendirian dan kemudahan emel percuma tanpa memerlukan pemasangan perisian pengguna di pelayan e-mel.

Pengguna e-mel seperti Yahoo!, Hotmail dan Gmail boleh memiliki kemudahan ini secara terus.

Apa yang membezakan kemudahan e-mel tolakan yang digunakan Blackberry dengan kemudahan e-mel tolakan lain ialah proses pendaftaran e-mel yang dipermudahkan.

Pengguna tidak perlu mengetahui ketetapan POP atau IMAP dan sebagainya untuk membolehkan e-mel dibaca di telefon bimbit. Apa diperlukan hanya alamat e-mel dan kata laluannya.

Dalam masa beberapa minit selepas maklumat itu dimasukkan ke Blackberry, e-mel yang diterima di alamat e-mel yang diberikan akan muncul dalam Blackberry pengguna.

Proses membalas e-mel yang diterima juga cukup mudah, pengguna hanya perlu memilih arahan balas, taip mesej balasan, secara automatik mesej yang dibalas akan dikemaskini di dalam kekotak e-mel utama bagi alamat e-mel terbabit.

Ini bermakna jika Blackberry anda hilang semua e-mel yang diterima dan e-mel yang dihantar melalui Blackberry masih boleh dicapai melalui kekotak e-mel utama di Internet.

Oleh kerana Blackberry dihasilkan untuk mengendalikan e-mel saja, ia boleh menyimpan hingga ribuan e-mel tanpa memperlahankan proses penggunaan peralatan itu.

Berbeza dengan kemudahan e-mel yang didatangkan dengan telefon bimbit biasa, kehadiran beberapa e-mel saja boleh menyebabkan operasi telefon bimbit menjadi perlahan.

Blackberry juga boleh membuka fail sisipan seperti Excel, PDF dan Word. Walaupun ia tidak mempunyai kemudahan Word secara keseluruhan, ini cukup membantu kita melihat kandungan sisipan yang disertakan bersama e-mel itu.

Pengunaan e-mel tolakan melalui telefon bimbit ini juga dapat membantu seseorang menjimatkan masa menjawab e-mel.

E-mel boleh dijawab sebaik saja ia diterima walau di mana mereka berada.

Kini pengguna tidak perlu berhadapan dengan jumlah e-mel yang banyak setiap kali kembali bekerja kerana e-mel boleh dibalas sebaik saja ia diterima. Faktor itu juga menggambarkan profesionalisme sesebuah organisasi di dalam menyelesaikan sesuatu tugasan seharian.

Oleh kerana pengunaan sistem Blackberry ini masih baru di Malaysia, ramai mungkin ragu sama ada pertukaran dari sistem telefon bimbit sedia ada kepada Blackberry satu langkah bijak.

Keputusannya jika anda bergantung kepada kemudahan e-mel untuk tugasan seharian, peralihan kepada sistem Blackberry adalah langkah bijak yang tidak perlu dikesali. Anda mungkin menyesal kerana tidak bertukar kepada sistem ini lebih awal.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...